Tuesday, May 24, 2011

Hepatitis B


IMUNISASI HEPATITIS B


Anda sedang menunggu kelahiran bayi anda. Bayi anda yang baru lahir memerlukan segala kasih sayang, jagaan dan perlindungan yang anda mampu berikan.
Imunisasi adalah satu cara perlindungan yang baik untuk bayi anda. Ia boleh melindungi bayi anda daripada berbagai jenis penyakit berjangkit yang kerap berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak seperti penyakit tibi, kerongkong, batu kokol, campak dan sebagainya.
Sekarang anda boleh melindungi bayi anda daripada Hepatitis B!
Mulai Januari 1989, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan perkhidmatan imunisasi Hepatitis B untuk semua bayi yang baru lahir.
Apakah Hepatitis B?
Hepatitis B ialah penyakit yang menyerang hati yang disebabkan oleh sejenis kuman iaitu virus Hepatitis B.
Mengapa ia merbahaya?
Hepatitis B merbahaya kerana setengah pesakit terus membawa virus Hepatitis B di dalam badan mereka walaupun mereka telah pulih daripada jangkitannya.
0rang-orang seperti ini dipanggil pembawa. Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit-penyakit yang teruk seperti penyakit hati, kerosakan hati dan barah hati. Barah hati adalah di antara sepuluh jenis barah yang kerap berlaku di dunia, termasuk di negara kita.
Pembawa Hepatitis B juga mengacam kesihatan orang lain oleh kerana mereka boleh memindahkan virus itu kepada orang lain.
Setakat ini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini.
Bayi yang baru lahir menghadapi risiko tertinggi
Bayi yang dilahirkan kepada ibu yang merupakan pesakit atau pembawa Hepatitis B mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk menghidap Hepatitis B. Bayi-bayi yang dijangkiti melalui ibu mereka akan menjadi pembawa seumur hidup dan menghadapi risiko tinggi menghidap barah hati.
Lindungilah bayi anda daripada Hepatitis B melalui Imunisasi
0leh kerana bayi yang baru lahir mempunyai risiko tinggi untuk menjadi pembawa Hepatitis B, mereka perlu diberikan imunisasi Hepatitis B. Imunisasi ini adalah selamat dan tidak memberikan kesan-kesan sampingan.
Imunisasi Hepatitis B perlu diberikan melalui 3 dos seperti berikut:
Dos Umur :
  • Dos Pertama Pada Hari Kelahiran
  • Dos Kedua Apabila Berumur Satu Bulan
  • Dos Ketiga Apabila Berumur Lima Bulan
Tiga dos diperlukan untuk memastikan bahawa bayi anda menerima perlindungan lengkap terhadap Hepatitis B.
Bagaimana Imunisasi ini boleh didapati?
Perkhidmatan ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kerajaan serta hampir semua hospital swasta.
Jika puan bersalin di hospital bayi puan akan diberi suntikan dos pertama oleh jururawat dihospital.
Jika jururawat desa atau bidan kerajaan menyambut kelahiran dirumah, beliau akan memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas kelahiran.
Sekiranya bidan kerajaan yang menyambut kelahiran di rumah tidak dapat memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas dilahirkan atau jika kelahiran disambut oleh bidan kampung, puan dinasihat supaya meminta suami atau ahli keluarga yang lain membawa bayi tersebut ke pusat kesihatan yang berhampiran dengan secepat mungkin untuk suntikan dos pertama.
Bagi suntikan dos kedua dan dos ketiga, puan dikehendaki membawa bayi puan ke hospital atau pusat kesihatan yang berhampiran pada masa yang ditetapkan.
3 Dos Imunisasi Hepatitis B Akan Melindungi Bayi Anda Sepenuhnya.

No comments: