Saturday, September 3, 2011

KATA HATI......................

Sekolah akan bermula tidak lama lagi...........Adakah anda telah bersedia untuk menghadapi hari-hari yang mencabar semasa sesi persekolahan?

KEWAJIPAN BERTUDUNG DAN MENUTUP AURAT BAGI WANITA BERIMAN


KEWAJIPAN BERTUDUNG DAN MENUTUP AURAT BAGI WANITA BERIMAN
Persoalan aurat ini telah diputuskan secara jelas oleh Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:

30."Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. 31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka….." sehingga akhir terjemahan ayat ini.

Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud "perhiasan tubuh yang zahir" itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi ) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi ) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu.

Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:

"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."

Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:

"Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Lihat tentang tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

Dan ketiga, satu hadis yang tidak berapa sahih tentang tafsiran"perhiasan tubuh yang zahir" itu ialah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aishah r.a.:

Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: "Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini" (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).

Dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an yang bermaksud “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”. Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa : ‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.

Dalam mentafsirkan ayat yang sama, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitabnya Tafsir Al-Maraghiy jld.9 pula menjelaskan bahawa : “ Begitu juga setiap wanita hendaklah tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya terhadap lelaki yang bukan muhrim, kecuali perhiasan yang biasa nampak dan tidak mungkin dapat disembunyikan, seperti cincin, celak mata dan lipstik. Dalam hal ini mereka tidak akan mendapat kesalahan. Kecualilah jika mereka menampakkan perhiasan yang patut disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kalung mahkota, selempang dan anting-anting kerana semua perhiasan ini terletak pada bahagian tubuh (pergelangan tangan, betis, leher, kepala, dada dan telinga) yang haram dipandang kecuali oleh orang yang dibenarkan untuk melihatnya. Setelah melarang daripada menampakkan perhiasan, Allah Ta’ala selanjutnya memerintahkan agar menyembunyikan sebahagian tempat perhiasan pada anggota tubuh itu di mana mereka hendaklah melabuhkan tudung kepala ke dada bahagian atas hingga di bawah leher, supaya dengan yang demikian mereka dapat menutupi rambut, leher dan dadanya, sehingga tidak sedikitpun dapat dilihat oleh orang lain. Seringkali wanita menutupkan sebahagian tudungnya ke kepala dan sebahagian lagi dilabuhkan ke punggung sehingga nampak pangkal leher serta sebahagian dadanya seperti yang telah menjadi adat jahiliyyah. Dari itu mereka dilarang berbuat demikian”.

Daripada kedua-dua tafsiran ini jelaslah bahawa seorang wanita yang beriman itu wajib memakai tudung dan menutup aurat serta perhiasan-perhiasan yang terletak pada bahagian tubuh yang wajib disembunyikan daripada pandangan orang yang bukan muhrim kecuali pada muka dan kedua-dua pergelangan tangan yang merupakan perhiasan yang nyata bagi mereka.

Seterusnya, Allah Ta’ala turut menegaskan lagi mengenai kewajipan ini dalam Al-Qur’an Al-Karim menerusi ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:

"Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu)."

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, "Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…" (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Bagaimanapun jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya. Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Ini kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Maka perlulah tutup lebih sedikit berbanding betis dan lengan. Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri. Adapun wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka. Namun para pendakwah perlulah berhikmah dan beransur-ansur dalam pendekatan mereka. Jangan menghentam, menyerang dan menghina wanita Islam yang belum dihidayatkan Allah itu. Berilah galakan kepada mereka dan puji-pujilah mereka bahawa mereka kelihatan lebih cantik dan menawan bila mereka menutup aurat. Mudah-mudahan pujian tersebut dapat melembutkan hati mereka untuk bertudung dan menutup aurat dengan sempurna. Namun, pendekatan beransur-ansur itu bukan bermakna mengatakan mendedah rambut tidak berdosa langsung. Ini adalah pernyataan yang salah dan menyeleweng daripada tuntutan syariat Allah dan RasuNya.

Cara menutup aurat seperti yang diterangkan tadi adalah wajib bagi setiap wanita Islam bermula sejak mereka baligh sehingga mencapai usia yang tiada keinginan untuk berkahwin/bersuami lagi (menopaus). Bila mereka telah mencapai usia menopaus dan tiada keinginan lagi, maka ketika itu ada kelonggaran untuk mereka tidak menutup rambut dengan syarat tidak bersolek. Jika mereka masih bersolek dan berpakaian seksi, maka dakwaan bahawa mereka tiada keinginan adalah tidak diterima, kerana lazimnya tujuan solek dan pakaian seksi itu adalah untuk menarik perhatian dan mencari pasangan. Walau bagaimanapun, kekal beriltizam dengan cara menutup aurat yang sempurna itu adalah lebih baik bagi mereka, walaupun sesudah tiada keinginan. Hukum ini berdasarkan ayat 60 Surah al-Nur.

Fahami Sebenar-benarnya Maksud Menutp Aurat


Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun
diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu sabit
berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan
para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan
bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat
ini, baik lelaki mahupun perempuan.
Apa yang menyedihkan ialah cara atau tren berpakaian segolongan
individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang
digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk
menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan
semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.
Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu
bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah
bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai
nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana
yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat
atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada
mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai
itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih
menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau
disembunyikan.
Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada
waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlismajlis
keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada
waktu-waktu lain.
Sikap sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini
menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar
menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya
sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhanahu
Wa Ta‘ala
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun
perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan caracara
menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah
Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup
aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati
perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan,
maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan
suatu kederhakaan.
Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan.
Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap
mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan
tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat
melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu
tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat
dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah
hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah
aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya,
iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka
gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang
berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian
tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang
diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak
menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang
condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh
menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat
dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).”
(Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat
sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah
Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa
atau kesesuaian tempat dan keadaan.
Menutup Aurat Nikmat Anugerah Allah Subhanahu Wa
Ta‘ala
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan bahan-bahan
pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan
menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui
firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup
aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa
taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari
tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada
hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan
bersyukur)”.
(Surah al-A‘raaf: ayat 26)
Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan
oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu
sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada
hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka.
Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan
mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak
bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.
Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada
kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu
melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri.
Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi
diri kaum wanita juga.
Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi
wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk
mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan
berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara
tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan
antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau
berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol.
Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat
yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan
ini.
Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?
Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana
yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana
aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara
sepintas lalu, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang,
maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh
nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah
kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan
anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.
Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat
sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman
Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak
perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya
melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu
mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Ahzab: 59)
Dalam ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang
dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan
menutup seluruh tubuh pemakainya.
Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri
pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang
diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung
kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai
pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
berpaling daripadanya.
Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang
perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh
dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan
kedua-dua tapak tangan Baginda.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciriciri
pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita
itu adalah seperti berikut:
1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang
menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.
2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota
aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah
yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan
punggung.
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat dari
kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang
menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari
luar.

Thursday, September 1, 2011

54 Tahun Merdeka


Hari ini..
Merdeka, Merdeka, Merdeka..
Dilaungkan sekuat hati..
Dengan senyuman, keriangan, kepuasan..
Tanpa tangisan.
54 tahun dahulu..
Merdeka, Merdeka, Merdeka, Merdeka..
Dilaungkan dengan penuh rasa bangga..
Tatkala ayat keramat kedengaran..
Air mata rakyat kegembiraan mengalir..
Menitis ke tanah seperti memberi sinar dan harapan..
Kepada bangsa, agama dan Negara.
Kini 54 tahun berlalu..
Segala harapan dan impian 54 tahun dulu telah dicapai..
Ku bangga melihat semua kejayaan ini..
Tapi di sebalik kejayaan masih ada kegagalan..
Adakah anak muda sekarang cukup mengerti sengsara mencapai kemerdekaan? Keperitan?
Mereka tak mengerti, mereka lupa.
Kini..
Anak-anak muda ketawa meraikan kemerdekaan..
Mereka hanya lihat merdeka ilusi semata..
Buku, gambar, video dan sedikit cerita orang tua..
Apa yang mereka rasa?
Adakah jiwa mereka merasai kesusahan, keperitan, kesengsaraan 54 tahun dahulu?
54 tahun..
Masih tidak cukup untuk mengajar erti kemerdekaan..
Di jiwa insan generasi baru..
Apa akan jadi kepada kemerdekaan kita?
Adakah ia akan berkekalan selamanya?
Sedarlah kawan-kawanku..
Carila erti kemerdekaan..
Renungkanlah kesusahan, keperitan, kesengsaraan..
Rakyat 54 tahun dulu..
Jika kamu mahu 1000 tahun
Merdeka tetap merdeka.

MANGROVE SWAMP