Monday, August 29, 2011

Renungan Revolusi Mesir


Tanggal 11 Februari merupakan satu tarikh keramat bagi 80 juta warga Mesir setelah lebih 18 hari sebahagian daripada mereka berkumpul secara aman di Dataran Tahrir, Suez, Alexandria dan Mansoura.
18 hari mereka berkumpul, meninggalkan kediaman, pekerjaan dan rutin harian mereka yang lain demi menggulingkan kezaliman, korupsi dan penindasan. Walaupun tanpa persediaan makanan, tempat tinggal, perubatan dan di bawah terik mentari serta ancaman polis anti-rusuhan, tetapi mereka tetap berteguh hati untuk menempa kejayaan.
Apakah pencetusnya?  
Kemiskinan, pengangguran, kezaliman sosial dan pencabulan kebebasan merupakan pendorong kepada mereka untuk perjuangan ini. Muhammad Bouazizi yang menjadi stimulus kepada warga Tunisia untuk berjuang dan berjaya menggulingkan diktatornya menyemarakkan api kemarahan yang sekian lama dipendam dalam jiwa setiap rakyat tertindas di Mesir. Kemenangan rakyat di Tunisia menunjukkan kuasa berada di tangan rakyat dan hanya api yang besar hasil gabungan seluruh lapisan rakyat mampu menggulingkan rejim yang zalim.
Penulis ingin mengajak pembaca untuk berfikir suatu perkara; apakah benar rakyat Mesir berjuang menentang kezaliman? Adakah melawan pemimpin yang zalim dan menegakkan keadilan merupakan teras perjuangan mereka? Ataupun semata-mata kerana api kemarahan kerana ditindas sekian lama? Bagaimana jika di bawah pemerintahan rejim Hosni Mubarak dahulu mereka mencapai kegemilangan ekonomi walaupun ditindas dari segi kebebasan politik dan rasuah bermaharajalela? Bagaimanakah keadaannya jika rakyat Mesir hidup senang dengan ramai golongan pertengahan seperti di Malaysia?
Adakah revolusi ini akan terjadi dan berjaya?
Penulis bukanlah mahu merendah-rendahkan pencapaian rakyat Mesir dan mempersoalkan pendorong mereka, hanya Allah yang tahu apa yang berada di dalam benak hati mereka. Tetapi penulis hanya mahu kalian semua berfikir melangkaui apa yang terjadi sekarang. Benar, perjuangan mereka adalah ke arah kebaikan dan keadilan sejagat, tetapi apakah yang sepatutnya menjadi teras kepada perjuangan setiap manusia di muka bumi ini, terutamanya golongan Muslim?
Apakah dasar yang menjadi perjuangan kita semua? Apakah perkara yang ingin kita tegakkan di muka bumi Allah ini? Mengapakah kita semua diturunkan di dunia penuh pancaroba ini? Apakah suatu jalan perjuangan yang kekal di dunia dan akhirat? Iaitu suatu perjuangan yang tidak akan mati dan padam walaupun dikurniakan kekayaan material, kekayaan ilmu, kebebasan penjajah atau pemimpin yang zalim dan kemakmuran sedunia. Apakah perjuangan itu? Wujudkah ia? Demokrasi, Republik, Sosialis, Komunis, ataupun Kapitalis?
Sahabat-sahabat yang ku kasihi dan cintai, perjuangan tersebut ialah Islam, yakni menegakkan agama Allah di muka bumi. Perjuangan berdasarkan dan berteraskan Islam itu akan berterusan sehingga kiamat. Selagi ada kemungkaran di dunia ini, selagi ada manusia yang tidak tunduk kepada Allah S.W.T, selagi itulah perjuangan berasaskan Islam itu akan kekal.
Setiap Rasul Allah yang terdahulu, dari Nabi Adam A.S sehinggalah yang terakhir, iaitu junjungan besar Rasulullah S.A.W, mereka membawa mesej yang sama. Mesej mereka ialah mengesakan Allah, tiada "ilah" selain Allah S.W.T, menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi, membawa keadilan Allah kepada manusia, menghapuskan kehambaan kepada makhluk dan menegakkan penghambaan hanya kepada Allah S.W.T.
Islam itu sebuah cara hidup yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia, oleh itu Islam haruslah diambil secara sepenuhnya, tiada kurang atau lebih. Bukan sahaja dalam aspek akidah dan ibadah, tetapi ia juga merangkumi akhlak, pemakanan, pakaian, ekonomi, pentadbiran, kepimpinan, pendidikan, keadilan sosial, kebebasan manusia, undang-undang dan sebagainya. Anda sebutlah apa sahaja aspek kehidupan manusia, Islam ada jawapannya.
Maka, sebagai umat yang telah bersaksi bahawa tiada "ilah" selain Allah, apakah sepatutnya menjadi dasar perjuangan kita kalau bukan pembentukan masyarakat yang betul-betul berpegang teguh dengan kalimah "Lailahaillallah", yakni pembentukan sebuah masyarakat Islam. Sebuah masyarakat yang berfungsi atas jalan atau landasan yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T melalui kekasihNya Muhammad S.A.W.
Setiap aspek masyarakat itu tidak terputus dari jalan Allah S.W.T, dari hal yang sekecil pembentukan individu sehinggalah pemerintahan negara. Bukanlah kejayaan material, kekayaan duniawi atau kemajuan bidang sains semata-mata yang didambakan masyarakat ini, tetapi tegaknya agama Allah itulah yang ingin dikecapi.
Ini tidak bermaksud material, kekayaan dan sains harus diabaikan, tidak sama sekali, bahkan ia adalah Fardhu Kifayah. Doktor, guru, ahli ekonomi, peniaga, hakim, polis, tentera, pentadbir-pentadbir, pekerja kilang dan sebagainya merupakan ramuan yang amat penting untuk sesebuah masyarakat itu berfungsi. Tanpa mereka, akan gagal dan hancurlah masyarakat itu dan Islam akan dilihat sebagai punca kegagalan manusia seperti apa yang terjadi sekarang.
Negara yang kononnya mengamalkan syariat Islam seperti Taliban di Afghanistan telah gagal menghayati tuntutan sebenar Islam, ia bukan sekadar masjid dan hudud, tetapi ia jauh lebih luas daripada itu. Mereka bukanlah "ekstremis Islam" yang sebenar, kerana mereka gagal memenuhi tuntutan pembentukan masyarakat yang jauh melangkaui hudud dan syariah. Kitalah "ekstremis" yang sebenar jika kita memperjuangkan penerapan Islam dalam seluruh aspek kehidupan manusia.
Berbalik kepada Mesir, ramai anak muda di Malaysia yang cemburu dan ingin berdemonstrasi bersama-sama mereka atas dasar solidariti. Ramai juga yang bertanya apakah yang mereka boleh lakukan untuk membantu atau tanda sokongan kepada Mesir. Malah ada juga yang mengatakan, "Malaysia ini aman dan makmur, maka apakah perlu kita berjuang?"
Tetapi sedarkah kita yang selama ini kita mempunyai masalah besar yang tersendiri. Sudahkah kita memenuhi tuntutan amar makruf, nahi mungkar? Sudahkah terbentuknya masyarakat Islam di dalam diri kita, keluarga kita, ataupun negara kita? Apakah yang menjadi "ilah" kita selama ini; wang, isteri, pangkat, darjat ataupun Allah S.W.T? Sejauh manakah cinta kita kepada Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W dan Islam? Sedarkah kita bahawa kita berselubung di dalam "Jahiliyah Moden" selama ini?
Maka apakah yang harus kita lakukan?
Kembalilah kepada Islam. Mulakanlah dengan diri sendiri dahulu sebagaimana wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah S.A.W:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-Alaq : 1-5)
Wahyu ini menandakan permulaan kenabian baginda S.A.W, di mana baginda S.A.W disuruh membaca untuk dirinya sendiri dan belum disuruh menyampaikan untuk orang lain. Kemudian barulah turun ayat:
"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan!" (al-Muddatsir : 1-2)
Ayat ini mengangkat Muhammad S.A.W sebagai Rasul dan utusan-Nya. Baginda kemudian disuruh menyampaikan ancaman kepada kaum keluarganya yang terdekat, diikuti seluruh kaumnya, kemudian kepada orang-orang Arab di sekelilingnya, terus kepada seluruh bangsa Arab dan umat manusia.
Maka kita boleh mengambil pengajaran daripada cara Allah mengutus Rasulullah S.A.W. Begitulah jua dengan kita sebagai khalifah di muka bumi ini, mulakanlah dengan memperkasakan diri sendiri dahulu, bacalah buku, bacalah al-Quran, tingkatkan pengetahuan, hadirilah majlis-majlis ilmu dan letakkan matlamat yang jelas dalam hidup ini, iaitu:
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku" (ad-Dzariyaat : 56)
Menegakkan Islam itu ibadah, bekerja kerana Allah itu ibadah, berdakwah itu ibadah, berjihad melawan nafsu itu ibadah, bahkan semua perkara di dalam hidup ini dalah ibadah jika dilakukan dengan niat hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T, walaupun dengan bermain futsal sekalipun!
Setelah itu, sebarkanlah risalah Islam kepada yang terdekat dahulu. Mulakanlah dengan rakan sebilik, rakan serumah, rakan sekuliah, kemudian apabila pulang ke kampung halaman, ajaklah adik-beradik dan kaum keluarga untuk menghayati Islam yang sebenar, yakni bersifat menyeluruh, bukan setakat di dalam masjid sahaja. Inilah jihad kita, janganlah mudah berputus asa kerana yakinlah bahawa kita di jalan yang benar!
"Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir itu berperang di jalan taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah." (an-Nisa' : 76)
Kita juga mempunyai al-Quran, benar, tampak sukar untuk menguasai segala-galanya, tetapi tanamkanlah sifat sabar dan istiqamah dalam diri masing-masing untuk menghadapi keberatan ini, gunakanlah kemampuan yang ada.
"Dan Al-Quran (Kami turunkan) beransur-ansur agar engkau (Muhammad) membacakannya keapda manusia perlahan-lahan dan Kami menurunkannya secara bertahap." (al-Isra' : 106)
Bacalah al-Quran itu perlahan-lahan, ambil masa untuk menghayati kandungannya dan beramal dengannya sedikit demi sedikit, kalimah demi kalimah, ayat demi ayat, surah demi surah dan seterusnya keseluruhannya. Inilah pegangan kita, inilah yang kita ada selain Sunnah Rasulullah S.A.W sebagai dasar perjuangan ktia, baik di dunia mahupun akhirat.
Percayalah bahawa penentangan kezaliman, penindasan orang miskin, kezaliman sosial, kepincangan akhlak, korupsi, dan macam-macam lagi sebab untuk berjuang itu sudah termaktub dalam Islam. Maka pilihlah Islam sebagai teras perjuangan kita semua, selama-lamanya.
Berjuanglah di jalan Allah, ada dua pengakhirannya; menang, ataupun syahid!


Perang Ahzab: Hubungan Ketua Dan Ahli


Perkongsian ini adalah mengenai kepentingan taat kepada pemimpin atau ketua dalam soal dasar dan prinsip. Namun harus ditekankan di sini bahawa taat yang dimaksudkan ialah dalam perkara-perkara yang tidak melibatkan dosa dan tidak bertentangan dengan agama.
Sepertimana firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".
(An-Nisa', 4: 59)
Para sahabat begitu taat dengan Rasulullah S.A.W sehingga mana dalam suatu peristiwa di mana Rasulullah S.A.W telah mengeluarkan arahan bahawa mereka akan pergi berperang tanpa dinyatakan dengan teliti peperangan tersebut.
Namun para sahabat tanpa membantah menuruti arahan Rasulullah S.A.W sehinggalah di pertengahan jalan barulah mereka mengetahui dengan siapa mereka berperang.
Dalam persatuan atau jemaah, kepimpinan sangat penting sehinggakan Saidina Umar Al-Khatab R.A pernah berkata "Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan."
Penting untuk setiap ahli dalam sesebuah persatuan mentaati setiap keputusan yang telah diputuskan secara bersama semasa mesyuarat. Maksudnya seharusnya tiada lagi mesyuarat selepas mesyuarat atau dengan kata lain perbincangan yang cuba menyangkal dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan mesyuarat.
Ini terbukti dalam sirah nabawi semasa dalam perang Ahzab yang merupakan perang paling memeritkan dalam sejarah Islam. Masyarakat muslimin ketika itu telah mengadakan mesyuarat bersama Rasulullah S.A.W bagi membicangkan strategi memerangi orang-orang kafir.
Dalam mesyuarat itu Rasulullah telah mencadangkan satu cadangan tetapi cadangan tersebut kurang dipersetujui oleh Salman al-Farisi dan mencadangkan orang-orang Islam menggali parit bagi mengurangkan serangan daripada orang-orang kafir yang sangat ramai jika dibandingkan dengan orang-orang Islam ketika itu.
Cadangan ini diterima oleh Rasulullah S.A.W lalu tentera Islam termasuk Baginda S.A.W sendiri bekerjasama menggali parit tersebut dengan bersungguh-sungguh walaupun cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan agar ia dapat disiapkan sebelum ketibaan musuh.
Baginda telah bersama-sama menggali, mengangkut dan membuang tanah serta memecah batu-batu. Semasa kerja memecahkan batu dijalankan, seorang sahabat menemui Rasulullah S.A.W dan memberitahu baginda bahawa mereka tidak berupaya lagi memecahkan sebiji batu yang besar setelah banyak kali mencuba. Rasulullah S.A.W pergi kepada batu tersebut dan berkata "Wahai batu, kamu jangan menjadi penghalang kepada kemenangan Islam!".
Nabi Muhammad S.A.W diberi mukjizat oleh Allah. Baginda telah memecahkan batu keras yang tidak dapat dipecahkan oleh orang muslimin. Nabi Muhammad S.A.W memecahkan batu itu dengan tiga pukulan sahaja.
Semasa kerja menggali parit dijalankan, kaum muslimin sentiasa berada dalam kelaparan kerana kekurangan makanan. Nabi Muhammad S.A.W dan orang muslimin telah mengikat perut mereka dengan ketulan batu untuk menahan lapar.
Seorang sahabat telah terlihat batu yang diikat pada perut Rasulullah S.A.W dan terus meluru pulang dan menyuruh isterinya memasakkan seekor kambing untuk diberi makan kepada Rasulullah S.A.W (betapa hebatnya kasihnya terhadap Rasulullah yang merupakan pemimpinnya).
Namun Rasulullah S.A.W telah menjemput semua kaum muslimin yang sedang menggali parit ketika itu untuk turut sama makan sehinggan sahabat tersebut berasa takut kerana dikhuatiri makanan tidak mencukupi.
Tetapi Allah telah memberi mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W iaitu seekor kambing dan sedikit gandum telah dapat mengenyangkan kaum Muhajirin dan Ansar. Bahagian makanan itu tidak berkurangan sedikit pun.
Betapa hebatnya pengajaran daripada kisah di sebalik perang Ahzab dalam konteks ketaatan kepada kepimpinan.


Kaedah Komunikasi Yang Positif


Komunikasi sesama kita merupakan salah satu seni pembinaan personaliti. Ia termasuklah komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja yang biasanya membawa impak yang besar kepada hati insan yang mendengarnya.Fokus artikel kali ini adalah alternatif-alternatif yang berkesan yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi ketika berkomunikasi dengan orang lain.
Selalunya apakah antara ayat-ayat yang kita akan gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain atau sekiranya kita ingin meminta tolong dia seseorang membuat sesuatu?
Kebanyakan dari kita , tanpa disedari, selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesannya terhadap orang lain, kerana cara itu sering menjadi tabiat kita dari hari ke hari.
Contoh ayat suruhan: Saya nak awak selesaikan minit mesyuarat semalam.
Cara Alternatif: Saya nak minta tolong /perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.
Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu(dengan nada yang baik dan bersopan) walaubagaimanapun dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan atau dilaksanakan. Kebanyakan kita hanya tahu menyuruh orang lain membuat itu dan ini, tapi kita lupa memberitahu mereka kenapa perkara tersebut perlu dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang berada dalam keadaan kabur dan tidak mengerti permintaan kita.
Jika kita sebagai ketua didalam sebuah organisasi,  tidak salah sekiranya kita menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta tolong seseorang melakukan tugas. Tapa disedari kita dapat mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama terhadap orang lain. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.
Dalam situasi kita menunggu email atau surat daripada seseorang. Kita sering bertanya mereka dengan soalan-soalan sepeti ini:
Contoh: Dah hantar ke email ke? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.
Oleh itu, sebagai alternatif kita boleh cuba bertanya begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ... ( ayat seterusnya)
Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.
Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Namun, sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.
Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.
Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.Usahlah kita sering mencari kesalahan orang lain tetapi gunakanlah pendekatan-pendekatan positif agar dapat memberikan impak yang lebih baik kepada masyarakat.
 "Practice makes perfect".


Sumber imej : Google Image

Takkan Pernah


Terima kasihku takkan pernah terhenti,
Atas kurniaan mereka yang amat berharga ini,
Bagiku,
Mereka takkan pernah terganti.
Tuhan,
Menanti hari demi hari,
Untuk kembali ke masa lalu,
Bagiku,
Ruang dan peluang ini seumpama mimpi.
Bebaskan diri ini,
Terbanglah setinggi langit Ilahi,
Moga selamat pergi dan kembali.
Cinta hatiku bersemi,
Cinta kasihku berlari,
Cintailah yang Maha Tinggi,
Kerna mencintai itu pangkal awal wujud diri,
Oh, bumi ini rindukan Islam lagi

Aku Cinta Dunia dan Kasih Arak Nafsu


Nama aku Jun, seorang gadis biasa yang baru menjangkau usia 21 tahun. Sebelum ini, aku merupakan seorang gadis yang gemarkan hiburan dan perkara yang melalaikan.
Namun, kini aku sudah tidak seperti dahulu. Aku tidak merasakan bahawa Dunia ini telah mengajar aku erti kebaikan. Bagiku, Dunia ini mengajarku erti kekejaman dan kejahatan di samping mengajar aku erti kehidupan. Kisah aku bermula ketika aku mula mengenali Dunia seawal saat aku dilahirkan.
Aku lahir di sebuah kampung dan ku labuhkan usiaku bersama si dia yang bernama Dunia.
Sejak kecil lagi aku mengenali Dunia, dialah yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Setiap manusia yang kukenali, Dunialah yang mengajarku siapakah sebenarnya mereka itu. Tatkala usiaku tiba ke pertengahan kehidupan. Ketika itulah aku sudah bangkit menjadi seorang remaja dan aku berhijrah ke bandar besar untuk mencari kerja bagi menampung kehidupanku bersama Dunia. 
Aku pergi bertemankan Dunia, hidupku dipenuhi perasaan gembira. Akhirnya aku tiba di bandar di mana aku telah ditawarkan untuk bekerja dengan mudah. Aku bertambah gembira.
"Hari ini awak ditawarkan kerja di bahagian pengurusan makanan. Saya akan letakkan awak di bahagian kaunter juruwang. Untuk awak, saya berikan masa sehari berehat. Esok awak boleh mulakan kerja...Ok?" jelas bakal bosku, Mejuez ketika menerangkan tugasanku.
"Baik bos...Terima Kasih banyak." Jawabku dengan perasaan gembira kerana telah diterima untuk bekerja.
Keesokan harinya aku mulakan kerja, Dunia yang setia bersamaku telah mengajarku penat lelah bekerja. Mejuez, bos di tempat ku bekerja cukup baik sekali.
"Jun...Awak ke sini kejap. Hari ni ada stok baru sampai. Nanti awak tolong aturkan barang-barang baru ini ke dalam stor boleh? Saya nak kira kuantiti barang yang sampai dan kuantiti pesanan untuk esok." Ujar bosku di saat aku sedang sibuk menguruskan tugasan aku sebagai seorang juruwang.
Semakin hari, aku semakin leka bersama Dunia. Aku telah lupa pada kampung halaman. Aku telah lupa pada keluarga di kampung. Bagiku, cukuplah sekadar dunia menemaniku di sini. Aku lebih bahagia. 
Dunia kini membawa aku mengikut langkahnya. Langkah demi langkah aku diajar olehnya. Malam yang sepatutnya ku luangkan di rumah, aku habiskan di luar mengikut rentak Dunia. Disebabkan Dunia juga aku mula mengenali kawan baru yang bernama Cinta. 
Cinta, sungguh tampan bagiku. Dia membawa aku hanyut ke lautan asmara yang palsu, tetapi bagiku Cinta yang memberiku kepuasan hidup. Dunia dan Cinta bersatu dan membawa aku melangkah ke kelab malam buat pertama kalinya. Sedang hanyut dan leka dibuai lagu-lagu berentak moden dan mengasyikkan, Cinta memperkenalkan aku dengan sahabatnya iaitu Kasih. Maka aku terus hanyut dengan ombak Kasih yang diberi oleh seorang jejaka tampan yang bagiku cukup sempurna. Wajahnya tampan, hartanya melimpah. Kini aku merasakan hidupku makin sempurna bersama Dunia, Cinta dan Kasih.  
Layanan perasaan aku terhadap Dunia, Cinta dan Kasih membuatkan aku leka dengan segala ayat-ayat manis yang ditaburkan oleh si jejaka. Aku semakin jatuh hati padanya. Malam-malam berikutnya aku dibawa ke kelab malam tersebut lagi oleh Dunia dan Cinta dan di sana aku menemui Kasih yang merupakan penyeri hatiku ketika itu.  
Hinggalah suatu hari yang tenang seperti biasa, si jejaka memberikan aku air minuman yang dinamakan Arak. Selepas meneguk minuman tersebut, Dunia memperlihatkan nikmatnya kehidupan. Dunia yang bersamaku kini sudah berubah wajah. Bersama Dunia yang baru aku lebih merasakan hidupku tenang tanpa masalah. Aku tidak sedar langkahku bersama Dunia kini kian rapuh. Sejak itu aku menjadikan Arak minuman kegemaranku. Kerana Arak mampu mengubah Duniaku. 
Tidak lama selepas itu, aku berkenalan pula dengan Nafsu, si serakah. Dunia, Cinta dan Kasih jugalah yang telah memperkenalkan Nafsu kepadaku. Aku, Dunia, Cinta, Kasih dan Nafsu berhibur hingga ke pagi. Kami berbual, berparti, menari membuatkan aku penat dan letih dalam kepuasan sendiri.
Aku tertidur kerana rasa mengantuk dan penat. Kasih, Dunia, Cinta ditemani jejaka tampan menjemput aku dan membawaku ke biliknya.
Setengah jam masa berlalu, tiba-tiba Kasih dan jejaka tampan datang ke arahku yang telah berada di kamar Neraka, mereka mencumbui aku, meraba-raba aku. Akhirnya Nafsu yang tidak kelihatan tadi kini sudah pun turut berada sama di situ. Mereka berganding bahu merosakkan aku dengan rakus sekali. Aku menangis dan tersedar. Di mana Dunia yang bersamaku dahulu? Siapakah Dunia yang bersamaku kini? Siapakah mereka yang lain ini? Aku keliru dalam sendu.
Dek kerana aku berkawan dengan Dunia aku kenal ranjau-ranjau kehidupan, kemudian aku kenal dengan Cinta, dek kerana Cinta aku kenal akan Kasih dan Arak. Dek kerana Arak lah ibu segala punca aku mengenali Nafsu yang serakah!
Mereka 'sialan' hidupku, Dunia yang mengajar! Aku mengikut! Lantas mereka menjadikan aku mangsa kehidupan!
***
"Kenapa dengan awak Jun? Awak nampak lain je hari ni?" Tanya bosku Mejuez kepadaku selepas peristiwa itu. Aku menceritakan hal yang sebenarnya kepadanya dalam sendu penyesalan yang teramat sangat dan hajatku untuk bertaubat kepada Yang Esa. Air mataku merembes keluar. Lantas aku mula bercerita segalanya...
"Aku lahir di sebuah kampung dan ku labuhkan usiaku bersama si dia yang bernama Dunia. Sejak kecil lagi aku mengenali Dunia, dialah yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Setiap manusia yang ku kenali, Dunialah yang mengajarku siapakah sebenarnya mereka itu. Takkala usiaku tiba ke pertengahan kehidupan. Ketika itulah aku sudah bangkit menjadi seorang remaja dan aku berhijrah ke bandar besar untuk mencari kerja bagi menampung kehidupanku bersama Dunia..."
Sumber imej : Google Image