Friday, January 27, 2012

Tips Sekiranya Sudah Berpunya Dan Masih Belajar


Alhamdulillah, sekarang penulis sedang cuti semester. Walaupun cuti, penulis tetap sibuk dengan hal-hal yang lain tetapi ianya tidak menghalang bagi penulis untuk berkongsi dengan rakan-rakan mengenai ilmu yang sedikit ini.


Semoga dengan perkongsian ini dapat dikira sebagai amal dihadapan Allah S.W.T kelak.


Itulah yang paling penting yakni melakukan sesuatu semata-mata kerana nak beribadah kepada Allah S.W.T.


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"  (surah Az-Zariyat : 56)


Manusia memang gemar apabila berbual mengenai isu-isu yang mereka suka sehinggakan berbual berjam-jam lamanya tanpa mereka sedari, janji apa yang mereka bualkan itu dapat memberikan kepuasan kepada diri mereka. Yang sibuk dengan bolanya, akan selalu bahaskan mengenai perkembangan bolanya.


Yang sukakan perkembangan fesyen terkini pula (terutamanya tertumpu kepada kaum-kaum hawa) pun sama seperti yang sibuk dengan bolanya iaitu menjadikan topik utama perbualan mereka dan macam-macam lagi. Itulah dinamakan lumrah dalam kehidupan manusia.


Apa yang penulis cuba kongsikan di sini bukannya mengenai perkembangan bola dan fesyen tetapi ada lagi satu topik atau isu yang penulis rasakan sangat-sangat penting, dari dulu hingga sekarang, tiada penghabisannya sehinggalah kiamat. Kerana apa penulis katakan penting?

Mesti ada sebabnya, bukan?


Sebab utama bagi penulis ialah ianya melibatkan "hati". Hidup mati seseorang itu berdasarkan hatinya. Sesuailah dengan apa yang idola kita sabdakan yakni nabi Muhammad S.A.W:


" Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumbal daging. Apabila ia baik jadi baiklah seluruh badannya, dan sekiranya buruk, buruklah semuanya. Ketahuilah ia adalah hati."


Topik yang penulis maksudkan disini adalah "cinta". Bila bercakap saja tentang cinta, penulis dapat bayangkan bahawa mesti lebih daripada 70% apa yang terfikir diminda pembaca adalah "hubungan cinta lelaki dan perempuan yang halal dikahwini, bukan?" atau lebih sinonim dengan "couple".


Memang tidak dapat dinafikan lagi, berbahas mengenai isu ini memang menarik. Teringat penulis ketika masih bergelar pelajar diploma, dalam satu usrah mingguan di mana rata-rata rakan-rakan penulis ketika itu rasa mengantuk sangat dengar pengisian yang disampaikan oleh naqib kami tetapi apabila berbincang mengenai isu walimah atau perkahwinan semua rakan-rakan penulis seumpama baru bangun dari tidur yang panjang. Semua fokus dan tersenyum panjang lebar saja. Masya-Allah hebatkan kuasa tentang cinta ini.


Berbicara tentang cinta ini skopnya sangat luas. Banyak perkara yang boleh diperbincangkan dan dipersoalkan. Penulis akan kecilkan skop perkongsian penulis dengan pembaca. Penulis merupakan seorang pelajar ijazah sarjana muda, baru menamatkan satu semester pengajian disebuah universiti tempatan. Apabila pelajar baru. Maka, ramailah kenalan-kenalan yang masih belum kita kenal. Apabila tidak kenal. Maka, kita ada keinginan mahu berkenalan, bukan?


Yang lelaki mahu kenal dengan perempuannya, yang perempuan pula mahu juga kenal dengan lelakinya. Apabila ternampak mawar atau kumbang itu lebih cantik atau tampan dari yang lain maka mulalah muji-memujinya. Itu adalah lumrah yang biasa dalam kehidupan seharian manusia kerana manusia ini sangat sukakan perkara-perkara yang sejuk mata memandang.


Berbalik kepada tadi, pelajar yang lebih nakal dan ekstrem, mereka akan mula melangkah setapak kehadapan iaitu berkenal-kenalan dengan lebih dekat saban hari sehingga terjadilah budaya "couple" di kampus. Dari tanya hal pelajaran sehinggalah ke hal peribadi.


"Hari ni awak dah study subjek apanya ya? Tup..tup..tup... " Kenapa sejak-sejak ini, saya selalu ingatkan awak?" dan sebagianya.


Perkara seperti ini, bukan terjadi pada seorang malah lebih dari itu. Seolah-oleh cinta sebelum kahwin ini dihalalkan pula di dalam agama kita yakni Islam. Dan macam-macam kerenah lain yang penulis rasa tidak perlu dihuraikan di sini. Jika pembaca seorang pelajar ataupun pekerja perkara seperti ini tetap akan berlaku dipersekitaran anda.


Jadi kita boleh melihatnya dengan sendiri. Sepanjang semester yang lalu, itulah yang penulis selalu perhatikan. Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua terutamanya penulis dari terjebak dengan cinta sebelum kahwin ini, Insya-Allah.


Sekarang barulah penulis masukkan topik atau tajuk sebenar dan utama penulis iaitu  fokus kepada pembaca yang sudah pun berpunya dan masih belajar atau bekerja. Di sini, penulis akan sertakan beberapa tips yang penulis rasakan berguna kepada kita terutamanya kepada yang sudah berpunya.


Tip-tip ini penulis perolehi hasil dari pembacaan penulis dari sebuah buku yang suatu ketika dahulu penulis sangat-sangat tercari-carinya iaitu "Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa". Sebuah buku karangan Mardiana Mat Ishak keluaran PTS. Untuk makluman pembaca, penulis gemar buku-buku keluaran PTS.


Tip-tip yang penulis maksudkan adalah :


1. Sekiranya boleh disegarakan perkhawinan itu, segerakanlah.


Ini merupakan kaedah yang paling dikehendaki oleh syarak dan syariat dan sangat berkesan iaitu berkahwin. Dengan perkhawinan ianya dapat menghalalkan 1001 tiket, semuanya boleh. Minta keizinan dan restu daripada ibu bapa dan nyatakan hasrat murni ini dengan sehikmah yang mungkin.


Sediakan rancangan atau pelan anda dan juga pasangan dalam urusan berkahwin ketika belajar. Tetapi perlu diingatkan, sebelum kita menyuarakan hasrat kita hendak berkahwin perlulah kita muhasabah diri terlebih dahulu atau membuat checklist terhadap diri kita dan juga pasangan kita supaya ibu bapa kita ada rasa keyakinan terhadap keputusan yang kita ambil ini. Pertama-tama sekali adalah tanya pada diri sendiri:
i.      Adakah saya sentiasa memastikan solat fardu lima waktu saya cukup?
ii.     Adakah Saya menjadikan solat duha sebagai satu kezaliman?
iii.    Adakah saya membaca al-quran sekerap yang mungkin?
iv.    Adakah saya selalu menghadirkan diri ke kuliah-kuliah agama?
v.     Adakah saya mengamalkan zikir pagi dan petang (al-ma'thurat) seperti Rasullullah?
vi.    Adakah saya sering memperbanyakkan selawat ke atas nabi?
vii.   Adakah saya membaca bahan bacaan yang memberikan kefahaman dalam agama?


Senarai semak hubungan dengan Allah S.W.T ini baru sahaja sebahagian dan masih terdapat banyak lagi pertanyaan yang lain tetapi penulis tidak mahu fokus kepada itu. Sekiranya jawapan negatif yang lebih banyak berbanding jawapan positif, perbaikilah hubungan kita dengan Allah S.W.T terlebih dahulu. Usah menyalahkan Allah S.W.T sekiranya kita bermasalah dalam hubungan kita dengan pasangan kerana sebenarnya kita bermasalah dengan Allah S.W.T.


Penulis akui memang berat bagi sesetengah individu untuk menyuarakan hasrat untuk berkahwin ketika belajar tambah-tambah lagi pelajar berkenaan masih cetek dari segi ilmu-ilmu spiritual, intelektual dan material dan masih terlalu ramai ibu bapa yang tidak berkeyakinan untuk membenarkan anak-anak mereka berkahwin seusia muda kerana bimbang pelajaran, kewangan dan sebagainya akan terjejas.


Dengan fikiran yang sebegitu, ibu bapa lebih rela melihat anak-anak mereka di bawa kehulu dan kehilir tanpa ada apa-apa ikatan yang sah. Maka, budaya couple semakin  berluas-luasa, bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kita kena ingat, wanita yang masih belum berkahwin, setiap tindak-tanduknya ibu bapalah yang akan mendapat dosanya. Tidakkah kita kesiankan ibu bapa kita. Kerana kita mereka terhalang dari masuk syurga Allah S.W.T. Fikirkanlah.


2. Sekiranya mahukan ikatan yang sah, pilih nikah Khitbah.


Altenatif kedua yang kita boleh ambil adalah melalui nikah khitbah. Nikah khitbah ini adalah menarik bagi penulis. Kahwin jenis ini adalah pasangan tersebut bernikah tetapi dibolehkan tinggal secara berasingan (sepanjang tempoh pengajian). Istilah dalam bahasa melayu dikenali sebagai 'nikah gantung'.


Yang manisnya atau kelebihan kahwin macam ini banyak manfaatnya terutama mendapat redai Allah S.W.T. Pasangan boleh belajar bersama-sama, keluar bersama-sama tanpa ada rasa segan silu dan bersalah kepada Allah S.W.T, ibu bapa dan rakan-rakan.


Bebas untuk berpegangan tangan dan sebagainya malah setiap apa yang dilakukan mendapat pahala di sisi Allah dan malaikat sentiasa mendoakan kesejahteraan pasangan tersebut. Menarik lagi, dapat jalani kehidupan yang sah dan diberkati dalam "couple" dan sentiasa komited bagi berjaya dalam pelajaran.


Nikah khitbah ini ada terjadi kepada salah sorang rakan penulis. Memang penulis akui sangat cemburui akan mereka. Kenapa tidaknya, mereka bebas untuk berjalan bersama-sama, bermesra dan sebagainya. Masa tempoh belajar memang mereka tinggal berasingan. Yang menarik bagi penulis, tamat saja tempoh pengajian diploma lebih kurang tiga bulan, penulis dapat berita zaujah (isteri) dia sudah mengandung anak sulung mereka. Alhamdulllah. Mungkin sekarang sedang menunggu kehadiran insan baru dalam hidup rumah tangga mereka. Maniskan, insyaAllah.


3. Sekiranya tidak diizinkan berkahwin juga, jaga batas pergaulan.


 Perkara inilah yang paling berat untuk dijaga. Ramai remaja-remaja sebaya penulis diluar sana yang sudah berpunya tetapi tidak dapat untuk menjaga pergaulan, pembaca sendiri dapat melihatnya. Apa pun, penulis tetap berharap dan berdoa agar rakan-rakan yang sudah berpunya itu dapat elakkan berjumpa dengan pasangan secara berdua-duaan dan dapat kurangkan berhubung sekiranya tiada urusan yang penting.


Letakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dan berdoa kepada-Nya. Ingat, setiap tindakan kita dan pasangan kita dapat memberi kesan kepada masa sekarang dan memberi kesan kepada perkhawinan kita kelak. Ingat, matlamat membina rumah tangga muslim yang sejati dan diredai juga bergantung kepada diri kita sendiri.


Teringat penulis semasa semester akhir diploma, ada sorang kawan baik penulis sudi kongsi ceritanya. Ceritanya itu berlaku kepada kawannya. sangat sedih dan tambah-tambah lagi berlaku kepada seakidah dan seagama dengan penulis.


Mereka berkahwin atas dasar cinta dan juga kerana mereka terlanjur sehinggakan wanita tersebut mengandung. Berkahwin tidak sampai sebulan kemudian wanita tersebut diceraikan talak tiga. Wanita tersebut diceraikan talak tiga. Nauzubillahiminzalik, mintalah kita dijauhkan dengan perkara sedemikian.


Apa yang pembaca rasa apabila wanita tersebut adalah diri pembaca. Tidak mungkin pembaca tidak rasa apa-apa. Tidak mungkin. Penulis dapat rasakan bercinta sebelum kahwin lebih banyak keburukkan berbanding kebaikan. Tambah-tambah cinta atas dasar seks. Penulis tidak mahu bahaskan isu kebaikkan dan keburukkan bercinta sebelum kahwin di sini, insya-Allah mungkin di sesi yang lain.


Penulis berharap dengan sedikit perkongsian yang tidak seberapa ini dapat membuka minda dan fikiran kita. Insya-Allah. Penulis sarankan yang sudah bercinta itu ikutlah sedikit sebanyak panduan yang telah diberikan ini. Pilihlah antara satu dari tiga kaedah yang disarankan, kalau ada yang lebih baik lagi bagus.


Pembaca yang sedang bercinta perlu ingat, setiap tindakan akan memberi kesan kepada pembaca dan pasangan pada masa sekarang dan juga akan datang. Ingatlah, jangan disebabkan cinta manusia yang tidak halal memudahkan kita menuju ke neraka Allah S.W.T. Nauzubillahiminzalik.


- Artikel iluvislam.com

No comments: